Sunday, July 5, 2009

Isteri-isteri Rasulullah S.A.W. dari Perspektif Perjuangan Masa Kini

**Dipetik drp emel seorang ukhti. Amat menarik utk dikongsi. lagipun dah lama tiada artikel berkaitan wanita di blog ini.

“ Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu : Jika kamu sekalian menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya ku berikan kepada mu saguhati dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki ( keredhaan ) ALLah dan RasulNya serta ( kesenangan ) di akhirat, maka sesungguhnya ALLah menyediakan bagi siapa sahaja yang berbuat baik di antara mu pahala yang besar.” ( Al Ahzab : 28 - 29 )

MUQADDIMAH

Penglibatan Muslimat di dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum Muslimat, yang menjadi sayap kiri perjuangan Islam telah tercatat di dada Sejarah semenjak dari wujudnya ‘alam maya ini. Seterusnya, penyertaan Muslimat dalam gerakan Islam ; adalah suatu keperluan yang dimestikan memandangkan peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Muslimat yang juga merupakan Isteri bagi para suami dan ibu kepada anak-anak perlu memahami kewajipan, bijaksana dalam membuat pembahagian masa, memiliki kekuatan, kecekapan berfikir dan bertindak dalam melakukan tugas kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Kita kembali mengambil pengajaran daripada kehidupan Ummahatul Mukminin yang banyak menyokong dan membantu Nabi dengan kekuatan peribadi mereka, kebijaksanaan, kecerdasan, ketabahan, kesetiaan, harta, pengaruh dan pergaulan yang luas dalam memperluaskan syariat ALLah dan pengaruh Empayar Islam di muka bumi ini. Mereka ini adalah golongan yang dikatakan oleh ALLah melalui firmanNya….

“ Sesungguhnya ALLah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat ( syurga ) yang mereka menyukainya. Dan sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun ” ( Al Hajj : 59 )

GEDUNG ‘ILMU

Ummahatul Mukminin yang terdiri daripada 13 orang tersebut selain daripada menjadi Isteri kepada baginda Rasul SAW juga menjadi tempat rujukan ilmu para Muslimat zaman tersebut . Bahkan, selepas RasuluLLah SAW wafat maka beberapa di antara mereka terus menjadi sumber rujukan utama kaum Muslimin. Ini dapat kita lihat melalui peranan Saidatina Saudah r.a , Saidatina Aisyah r.a , Saidatina Hafsah r.a , Saidatina Raihanah r.a, Saidatina Syafiyah r.a, Ummu Habibah r.a dan Ummu Salamah r.a . Saidatina Aisyah r.a pula memang termasuk sebagai ahli Ilmuan dalam Al Qur’an, hadith, fiqh, sejarah dan bahasa Arab. Sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Burdah bin Musa dari ayahnya .…

“…setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r. a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah…”

Selain daripada itu, tercatat dalam tinta sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a termasuk salah seorang daripada 7 orang ahli Majlis Syura selain Umar Ibn Khattab r.a, Ali bin Abi Talib r.a , Abdullah Ibn Mas’ud, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar. Saidatina Aisyah r.a, Hafsah r.a dan Ummu Salamah juga banyak meriwayatkan hadith daripada baginda RasuluLLah SAW yang menjadi mereka sebagai golongan Muhaddisah . Kehadiran mereka ini sesungguhnya telah dapat membantu baginda Rasul SAW dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini . Seterusnya menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang sial dan berada pada tahap yang sebegitu rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu.Ini seterusnya membuktikan kepada kita pada hari ini bahawa wanita yang berilmu juga harus diberikan penghormatan yang tinggi dalam Islam dan memberikan satu input yang cukup berguna dalam meneruskan kesinambungan perjuangan.

Firman ALLah SWT yang mafhumnya…… “ ALLah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ‘ilmu pengetahuan beberapa darjat…” ( Al Mujaadalah : 11 )

KEKUATAN EKONOMI & SIKAP PEMURAH – DANA PERJUANGAN

Perjuangan Islam sejak daripada awal perjuangan baginda Rasul SAW lagi menunjukkan kepada kita akan peri pentingnya kemantapan ekonomi untuk menjana dan meneruskan kelangsungan perjuangan. Baginda SAW banyak dibantu oleh kemantapan dan keutuhan ekonomi yang dimiliki oleh Isteri baginda yang tercinta iaitulah Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Sayyidah Khadijah, Ummul Mukminin pertama dalam sejarah Islam adalah seorang wanita bangsawan dan hartawan yang gigih. Beliau senantiasa memberikan dorongan besar terhadap perjuangan RasuluLLah SAW di samping memainkan peranan sebagai penolong, pembela, pelindung RasuluLLah SAW daripada ancaman orang-orang Musyrikin Quraisy. selepas kewafatan Sayyidah Khadijah ketika berusia 65 tahun, Rasul SAW begitu bungkam sekali. Sehinggakan tahun tersebut dicatatkan dalam Sejarah Islam sebagai Tahun Duka Cita ( bukan setakat terhadap baginda SAW tetapi juga kepada semua makhluk yang beriman kepada ALLah ). RasuluLlah juga beranggapan bahawa baginda bukan setakat kehilangan Isteri yang setia tetapi kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia kepada ALlah SWT. Di samping itu, sejarah telah menukilkan betapa Ummahatul Mukminin semuanya adalah insan-insan beriman yang bersikap pemurah dan dermawan. Contohnya, Sayyidah Sauda r.a mengikut catatan sejarah pada tarikh kewafatannya, tidak langsung meninggalkan harta yang masih menjadi miliknya walau sedikit. Kesemua hartanya telah dibahagi-bahagi kepada sesiapa yang memerlukan ketika hayatnya. Demikian jugalah halnya beberapa Ummahatul Mukminin yang lain. Sayyidah Zainab r.a misalnya terkenal dengan gelaran Ibu Orang-orang Miskin ( Ummul Masakin ) lantaran sifatnya yang cukup mengambil berat kebajikan dan nasib kaum dhu’afa’ serta memberikan bantuan kepada mereka.

KEMAHIRAN PSIKOLOGI YANG TINGGI

Psikologi atau juga yang dikenali sebagai Ilmu Kejiwaan amat memainkan peranan penting dalam bidang kehidupan seseorang khususnya para pemimpin/ pejuang dan juga gerakan yang dibawanya. Mengimbau ketinggian Ilmu Psikologi yang ada pada Ummahatul Mukminin, dapat kita simpulkan bahawa mereka berjaya menguasainya sehingga dapat membantu perjuangan baginda SAW dalam perjalanan yang terarah, tenang di samping ketetapan bantuan ALLah SWT.

Pernah berlaku satu peristiwa di mana RasuluLLah SAW amat sedih lantaran arahan baginda ( selepas perjanjian Hudaibiyah ditandatangani dengan pihak Quraisy ) kepada para Muslimin agar menyembelih haiwan sebagai dam ( denda ) kerana mereka tidak menunaikan haji pada tahun tersebut dan kemudian menyuruh mereka mencukur rambut sebagai tanda tahallul tidak diikuti oleh seorang pun. Maka baginda kembali ke rumah Ummu Salamah dan menceritakan hal tersebut dengan nada bersedih. Lantas, dengan ketinggian ilmu Psikologi yang ada pada Ummu Salamah yang memahami keadaan suaminya yang tercinta maka beliau berkata :

“Ya RasuluLlah…! Sukakah engkau mengerjakan itu..? Kalau engkau suka hendaklah engkau keluar dan jangan berkata-kata walau sepatahpun dengan mereka, sehingga engkau menyembelih untamu kemudian engkau panggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu….!”

Nasihat isteri tercinta dituruti oleh baginda kerana pada pandangan baginda ia suatu saranan yang bagus. Ternyata keberkesanannya kerana apabila melihat tindakan Rasul SAW itu, semua kaum Muslimin mengikuti perbuatan baginda. Baginda berasa amat gembira dan memahami bahawa hanya dengan kata-kata sahaja kurang berkesan dalam mengajak manusia. Di sini juga dapat kita rumuskan betapa psikologi terhadap anak-anak buah/ orang-orang bawahan amat perlu dipertingkatkan dalam usaha kita mengarah mereka ke jalan ALLah SWT.

Ummu Salamah merupakan antara salah seorang Ummahatul Mukminin yang bijak dan berwibawa. Ini termasuklah dalam peranannya menasihati Siti Aisyah yang melibatkan diri dalam pertelingkahan antara Muslim selepas kewafatan RasuluLLah SAW dan juga nasihatnya kepada Sayidina Usman Affan agar mendekati dan memahami rakyat di bawah pemerintahannya. Sesungguhnya, Ummul Mukminin ini telah berjaya memainkan peranannya dalam 3 zaman iaitu zaman Rasul SAW, Zaman Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan Muawiyah, pemula kepada pemerintahan Bani Umaiyyah. Sikap, ketegasan dan pengorbanan Ummu Salamah dalam melayani karenah-karenah kaum Muslimin khususnya selepas kewafatan Rasul SAW juga harus dijadikan contoh. Ketika Muawiyah berkempen mengajak ummat Islam untuk mengutuk Ali bin Abi Talib dalam suatu tabligh akhbar, Ummu Salamah segera mencabar dan memberikan nasihat kepada Muawiyah dan kaum Muslimin. Beliau berkata dengan penuh semangat lagi pantas….

“Sesungguhnya kamu sekalian telah melaknati ALLah dan RasulNya di atas mimbarmu. Kerana kamu telahpun melaknati dan mengutuk Ali bin Abi Talib serta orang-orang yang mengikutinya. Dan saya bersaksi bahawa ALLah dan RasulNya amat mencintai Ali bin Abi Talib.”

HUBUNGAN DIPLOMATIK & ANTARA KAUM

Seerah perkahwinan Rasul SAW dengan para isteri baginda SAW amat jelas bukanlah didasari atas kehendak dan kepentingan nafsu. Bahkan, sejarah telah membuktikan betapa di antara kalangan 13 orang wanita yang dinikahi baginda, hanya seorang sahaja yang bertaraf gadis iaitu Sayyidatina Aisyah r.a . Manakala selebihnya telah pernah berkahwin . Ada yang merupakan janda daripada para sahabat yang telah gugur syahid di medan jihad mempertahankan Islam . Ada pula yang merupakan abdi/ tahanan perang dan ada juga yang telah diceraikan oleh para suami terdahulu. Rasul SAW menikahi mereka sebagai langkah untuk menjaga kebajikan mereka dan tidak kurang juga hasil daripada arahan wahyu ALLah, contohnya pernikahan baginda dengan Siti Aisyah r.a dan Zainab binti Jahsyi r.a .

Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah peranan perkahwinan tersebut dalam perspektif hubungan diplomatik dan antara kaum . Ummahatul Mukminin , Mariyah Al Qibtiyah r.a contohnya ialah Puteri Syam’un dari kalangan penganut agama Nasrani ( Kristian ) Mesir, manakala ibunya berasal dari Rom , Itali. Beliau menjadi salah seorang penghuni Istana Muqauqis. Raja Muqauqis pula amat sayangkan dan menghormati beliau. Walau bagaimanapun, sebagai menghormati Nabi Muhammad SAW yang telah mengutuskan warkah kepada Raja Muqauqis, maka Mariyah telah dihadiahkan untuk Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanan menuju ke Madinah, Mariyah telah tertarik dengan kecantikan akhlaq Islam yang ditunjukkan oleh Hatib bin Balta’ah, orang kepercayaan RasuluLLah SAW, lantas beliau memeluk Islam . Rasul SAW pula telah mengangkat martabatnya menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin. Hasil daripada hubungan ini, maka ahli keluarga Mariyah Al Qibtiyah juga kagum dengan akhlaq yang ditunjukkan dalam Islam . Hubungan antara ketiga-tiga buah negara semakin baik dan Islam selanjutnya dapat dikembangkan di Mesir dan Romawi, melalui hubungan perkahwinan tersebut.

Selain daripada itu, perkahwinan baginda SAW dengan Barrah bin Al Harris atau kemudiannya ditukarkan nama oleh baginda kepada Juwairiyah r.a juga telah merapatkan hubungan antara kaum iaitu antara Kaum Quraisy - Islam dengan Kabilah Bani Al Mustaliq, satu kelompok yang begitu memusuhi Islam di Madinah . Ini dapat kita lihat melalui kata-kata Ummahatul Mukminin Sayyidatina Aisyah r.a ……….

“ Sungguh, telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinannya itu, serratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah ku ketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah…….”

Ayahanda Juwairiyah r.a iaitu Al Harrsi Abi Dhirar juga telah memeluk Islam di hadapan menantunya, Muhammad SAW. Ummahatul Mukmini ini juga telah menjadi tempat rujuk berkenaan hukum selepas kewafatan baginda SAW . KHIDMAT MASYARAKAT Kalangan Ummahatul Mukminin juga telah meninggalkan contoh kepada perjuangan masakini khususnya di kalangan Muslimat berkenaan persoalan khidmat masyarakat. Ini dapat kita perhatikan melalui peranan yang telah dimainkan oleh Ummahatul Mukminin, Maimunah r.a. Walaupun baginda SAW telah tiada, namun Maimunah r.a tetap menunjukkan kesetiaan yang penuh kepada Nabi SAW. Beliau tetap menjaga silaturrahim antara beliau dan madunya .

Terdapat dalam catatan sejarah bahawa Maimunah r.a banyak mengarahkan perhatiannya kepada masalah kaum wanita, terutama remaja Islam. Beliau membentuk satu pertubuhan wanita bagi memberi bantuan pertolongan cemas terhadap para pejuang yang tercedera dalam peperangan. Oleh itu, beliau sangat menonjol dalam Perang Tabuk yang terjadi dalam Bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah, ketika itu RasuluLLah SAW masih hidup. Saat itu, Maimunah r.a berada di antara kaum Muslimin pada barisan terdepan sekali . Ketika itu, beliau menyantuni para pejuang Islam yang tercedera dan merawat mereka dengan penuh kasih sayang dan ikhlas, bahkan beliau sendiri pernah hampir disambar anak panah musuh. Sikap dan kemahiran ini terus beliau kembangkan setelah RasuluLLah SAW wafat, bahkan para sejarahwan mengatakan bahawa beliaulah orang yang pertama sekali menubuhkan Persatuan Wanita. Kelebihan beliau ini juga mendapat pujian daripada Sayyidatina Aisyah r.a melalui kata-katanya……..

“ Beliaulah ( Maimunah ) orang yang paling taqwa di antara kami ( para isteri RasuluLLah SAW ) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim !”

RUMUSAN

Ummahatul Mukminin begitu banyak meninggalkan suri tauladan kepada pejuang-pejuang Muslimat masakini. Dalam soal keilmuan, komunikasi, diplomasi, perdamaian, atursiasah dan langkah-langkah strategi serta termasuklah apa jua aspek sekalipun . Pengorbanan yang ditumpahkan ikhlas oleh mereka bukan setakat membantu kaum Muslimat bahkan juga kaum Muslimin dan yang lebih penting ialah khususnya perjuangan baginda RauluLLah SAW itu sendiri. Tetapi malangnya, dewasa ini ramai ummat Islam yang terpengaruh oleh kenyataan kaum intelektual sekular yang menyatakan bahawa peranan Ummahatul Mukminin ini hanya terbatas dalam soal melayani kehendak individu Rasul SAW .

Semoga apa yang dibentangkan ini akan menjadi input yang berguna dalam menjana sokongan dan kerjasama seluruh pejuang Islam, tidak kira Muslimin atau Muslimat.

"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara " (Al-Hujurat 10)

Saturday, June 13, 2009

Selatan Thailand Berdarah lagi

Selatan Thailand berdarah lagi. 11 nyawa menjadi korban. Sekali lagi masjid menjadi saksi mandi darah selepas peristiwa masjid Krisek. Kejam! Sudah bosan. Apakah kekejaman ini akan mendapat pembelaan? Atau hanya dibiarkan berlalu oleh angin. Atau dilupakan oleh umat sebagaimana mereka lupa sejarah Pattani yang jauh ditinggalkan di zaman Langkasuka?

Sejarah Langkasuka dan Patani

Nama Langkasuka telah luput dalam lipatan sejarah. Ia didakwa diasaskan seawal abad pertama masihi. Namun, tiada bukti yang jelas mengenainya. Ia hanya bersandarkan catatan saudagar China yang sampai di sana pada kurun ke-3 dan dia mendakwa bahawa kerajaan Langkasuka sudah lama wujud. Sir John Braddle menegaskan bahwa kawasan timur Langkasuka meliputi daerah pantai timur Semenanjung, mulai dari Senggora(Songkhla), Patani, Kelantan sampai ke Terengganu, termasuk juga kawasan sebelah utara negeri Kedah (M. Dahlan Mansoer, 1979).Langkasuka berubah kepada Patani selepas Sultan pertamanya, Phaya Tu Nakpa memeluk Islam dan menukar nama kepada Sultan Ismail Syah. Patani yang berarti "Pantai Ini". Kerana beliau secara kebetulan menemui suatu tempat yang indah dan ideal untuk dijadikan negeri di tepi pantai. Riwayat lain mengatakan Patani berasal dari kata "Pak Tani" iaitu pemilik pondok (seorang petani garam) ditepi pantai yang ditemui oleh Raja ketika beliau mencari lokasi negeri baru. (Ibrahim Shukri, tanpa tahun). Malangnya ada anasir yang sengaja mencicirkan ia daripada peta nusantara.

Tanah ini pernah gemilang di bawah pemerintahan 5 sultan dan 4 ratu yang berakhir dengan pemerintahan Ratu Kuning. Patani pada zaman Ratu-ratu sangat makmur dan kaya. Kekuasaannya meluas hingga ke Kelantan dan Terengganu sehingga terkenal dengan sebutan Negeri Patani Besar. Kecuali Johor, tidak ada negeri lain di kawasan timur Semenanjung Melayu yang memiliki kemakmuran dan kekuatan sehebat Patani kala itu. Kekuatan negeri Patani tergambar dari kemampuannya mematahkan empat kali serangan kerajaan Siam pada 1603, 1632, 1634 dan 1638. Patani memiliki 3 buah meriam besar yang sangat masyhur yaitu Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Mampu mengerahkan 180.000 pasukan siap tempur dan diperkuat oleh sebuah benteng yang tak kalah terkenalnya yakni Benteng Raja Biru.

Detik Hitam Patani

Detik hitam rakyat Patani bermula pada tahun 1785 apabila mereka ditakluk Siam setelah 3 serangan Siam sebelumnya yang gagal. Pada serangan kali keempat, Patani kalah kerana telah dikhianati oleh Chang Tong. Dia dihantar oleh tentera Siam kononnya untuk belajar di Patani. Dia berpura-pura masuk Islam dan berkhidmat dengan tentera Patani. Ketika Siam menyerang Patani, dia membantu tentera Siam. Maka ranaplah Kerajaan Melayu Patani Besar. Begitulah bahana racun yang disuntik secara senyap ke tubuh Patani. Akhirnya lumpuh hingga kini.

Beberapa siri pemberontakan telah dilancarkan untuk membebaskan Patani namun gagal. Ekoran daripada itu, Kerajaan Siam telah menangkap beberapa orang Patani dan dijadikan banduan. Mereka dikenakan seksaan yang kejam seperti dicucuk betis dengan rotan untuk mengelakkan mereka melarikan diri. Banduan-banduan ini diangkut secara 'pukal' ke Bangkok. Ada dalam kalangan mereka sanggup terjun ke Laut kerana tidak sanggup menahan seksaan sehingga ada sungai di Bangkok dinamakan Seang Sead(Sungai Derita). Sungai ini digali oleh orang Melayu Patani tanpa sebarang alatan, tetapi hanya menggunakan jari-jemari sahaja. Mereka dipukul di bahagian belakang sekiranya berhenti. Mana mungkin Patani lupa akan semua ini. Kekejaman itu masih berterusan hingga kini.

Masih ingat peristiwa Masjid Krisek? Masjid yang di bina pada zaman Sultan Muzaffar Shah 400 tahun lampau telah merakam peristiwa berdarah pada April 2004. Apabila askar-askar Siam datang mengepung masjid itu yang dijadikan tempat perlindungan seramai 32 orang anggota pemisah. Chawalet Lin Cha Yu, Timbalan Perdana Menteri yang mengawal keselamatan di selatan Thailand mengarahkan tenteranya supaya memberi makanan dan minuman kepada mereka yang berada di dalam masjid itu, tetapi arahan dibangkang. Mereka yang berada di dalam masjid itu ditembak melalui bumbungnya.

Hanya tinggal Nostalgia

Bagi sebahagian umat, Patani mungkin hanya sebuah nostalgia negeri Melayu. Orang-orang yang memperhatikan peta Asia Tenggara sekarang akan mengetahui bahawa sebuah negeri Islam yang dulu berjaya kini telah hilang dan tinggal kenangan.Berbeda dengan nasib negara lain seperti Bosnia, Kashmir, Chechnya atau Palestin yang tak pernah sepi dari pemberitaan. Patani ditakdirkan telah menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak naik panggung. Namanya hanya terdapat pada peta dan dokumen lama saja. Demikian juga dengan orang Patani, hilang dan tak dikenal. Hanya mutakhir ini sahaja Patani Besar mendapat perhatian media atas kekejaman Kerajaan Thailand terhadap mereka. Biarpun dunia tidak mampu membayar air mata mereka, biarpun dunia tidak mampu membayar titis darah mereka, tetapi dunia berhak tahu penderitaan mereka. Kebenaran perlu disebarkan dengan apa jua kaifiat. Renungkan sahabat-sahabat. Kita di Malaysia masih punya waktu untuk bersuka-ria, bergelak ketawa mahupun menangis duka. Kita masih punya waktu untuk makan, tidur, bercengkerama, beribadat mahupun bermaksiat dengan aman. Sedang mereka di medan sana, setiap saat berada di ambang kematian. Hampir setiap hari ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan bapa dan isteri kehilangan suami tanpa sebarang kesan didakwa diculik oleh askar kerajaan. Sudah kering air mata mereka untuk menangisi mereka yang pergi sedang kita masih punya air mata untuk menangisi kisah percintaan yang sia-sia dan dimurkai Allah. Di benak mereka hanyalah perjuangan setiap detik. Lalu di mana kita sahabat-sahabat? Sedang Nabi S.A.W pernah bersabda:

"Sesiapa yang berpagi-pagian dan tidak mengambil tahu tentang saudara-saudaranya, dia bukanlah dari kalangan umatku."

Justeru, marilah sama-sama kita membina biduk yang ampuh dengan kemudi Islam yang kukuh menuju ke Pulau Bahagia di akhirat sana. Jangan di tengah lautan, biduk patah kemudi lalu hanyut terdampar di Pulau Sepi. Andai hanyut, berdoalah agar ada kapal ke Pulau Bahagia lalu untuk mengambilmu. Sungguh masih banyak kapal yang penumpangnya sentiasa teringatkanmu dan memikirkanmu penuh pengharapan. Itulah keluarga, saudara-mara dan sahabat sejati. Jangan terus terdampar di situ kerana keegoanmu. Kerana hidup itu sebuah cerita yang sepanjang pelayarannya punya harga. Lalu pungutlah segala yang bernilai dan jadikan pakaian untuk bertemu Allah. Kita sudah tiada masa untuk berlabuh di Pulau Sepi atau Pulau Kecewa. Kerana musuh sentiasa cuba mencari jalan membocorkan biduk agar karam di Lautan Dosa. Renungkanlah.

Rujukan:

1. Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954, Nik Anuar Nik Mahmud, UKM 1999
2. tamansejarah.blogspot.com
3. Utusan Online
4. NST Archive
5. Wikipedia
6. Ustaz A. Ubaidillah Alias, Guru Maahad Tahfiz Sains Tumpat


Dunia itu Satu Kebun

DUNIA itu satu kebun,
pagarnya negara.

NEGARA itu sebuah kekuasaan,
yang hidup dengan kekuasaan itu,
aturan yang tetap (sunnah)

ATURAN yang tetap itu
ialah politik (siasah)
yang dijalankan oleh raja.

RAJA itu peraturan
yang disokong oleh tentera
Tentera-tentera itu pembantu,
yang ditanggung oleh harta

HARTA itu rezeki,
yang dikumpulkan oleh rakyat..
RAKYAT itu budak-budak,
yang dipelihara oleh keadilan

KEADILAN itu yang disukai
dengan keadilan tegaklah dunia

~ Ibnu Khaldun

Thursday, June 11, 2009

Siri Kenali Kelantan 3: Belajar Loghat Kelantan


Assalamualaikum,

Saya rasa biasa kita dengar bahawa golongan tua yang bukan Kelantan agak fobia dengan orang Kelantan. Hinggakan anak-anak mereka 'diharamkan' untuk kahwin dengan orang Kelantan. Ini diceritakan sendiri oleh bapa saudara saya yang berasal daripada Pulau Pinang. Ibu bapanya pernah memberi amaran supaya tidak mengahwini orang Kelantan. Tapi, dah takdir. Orang kata rezeki jangan ditolak. Kan telah diakui seluruh nusantara bahawa wanita pantai timur ni cantik-cantik..... haha...

Jadi, untuk memudahkan hidup anda tatkala membina 'masjid' bersama orang pantai timur especially Kelantan, moleklah kiranya kita mengenali serba sedikit loghat Kelantan. Loghat Kelantan amat berbeza dengan loghat Terengganu. Tetapi, yang uniknya, orang Kelantan boleh berkomunikasi dengan orang Terengganu dengan menggunakan loghat masing-masing(tidak guna bahasa yang common). menarik kan?

Kita mulakan dengan satu kisah... Di sebuah sekolah di luar Kelantan yang guru besarnya orang Kelantan. Satu hari tu, ada sorang murid ni nampak ular. Cikgu tu pun menjerit "Katok gih! Gi katok nuh!" Murid tu pun cakap "tu bukan katak cikgu, tu ular.".... kua3...

katok=pukul.

dalam loghat Kelantan, ada banyak perkataan yang dikaitkan dengan makna pukul. antaranya gode, piat, cah keting, lepa n so on. cara sebutannya pulak, biasanya kalo ada vokal A, kene tahan nafas kat hidung. Di sini lah kami dapat mengenali seseorang itu orang Kelantan ataupun tidak di samping beberapa lenggok bahasa yang lain.. hehe... bukan senang nak mengajuk cakap kelantan..

Vocabulary:
Bokbong = spesis musang
Ttuyup = pepatung
Pok Kor = spesis mengkarung
Ike Kkhonge = ikan cencaru
Gelenyar,Gletah = mengenyam, gatal, getik
saksoba = Absorber
Supik Gelenyar/supik rhokrhak – plastik bag (yang nipis tu.)
Buah Topoh = buah epal (diambil dr perkataan Arab “tuffah” = epal)
mokte = rambutan
kuk/kok = sekeh
njja = tendang
x cakno = x hirau
nyaknyo = kesian
bbaloh = kelahi
Ggaduh = nak cepat (double `G’ means sabdu))
debe = berani gilerr
Bekwoh = kenduri (mungkin berasal dari big work)
Tohok = buang
rhukah = panjat
Ghohok = susah, payah
hungga = lari (bkn hungga bungga ekk)
cuwoh = curah
getek/etek = juga
tepoh = langgar
tubik = keluar

Dalam loghat Kelantan juga ada kata penguat kepada sifat yang tersendiri, antaranya:
manis LLETING
masin PPEGHAK
pahit LLEPE
mase PPUGHIK
tawar EBER
putih SSUEH
hite LLEGE
biru KKETU
kuning NNEHE
kenye BBONYAH
comel LLOTE
gemuk DDEBOK
busuk BANGA
hapok KOHONG

Ada jugak perkataan yang diubahsuai daripada bahasa Inggeris seperti:
POZEK (deposit)=wang pendahuluan
RIZAT (1.result,2.reserved)=1.keputusan,2.simpanan
NNEJA (manager)=pengurus
ISTEK (estate)=ladang estet
SUWIH (switch)=suis
MERKET (market)=pasar
BOKK (book)=buku
rhoba (rubber)=pemadam

Biasanya perkataan yang berakhir dengan`an’,’ am’,'ang’ diganti dengan `e’. cth :
Jangan=jange
Lengan =lenge
ayam = aye
Geran = gere,
Pisang = pise
Malam = male

BUT NEVER NEVER & NEVER apply this formula on words like mempelam(mangga) & pelan. BAHAYA!! dan ada perkataan lain yang biasa dituturkan rakyat marhaen namun dianggap sensitif atau lucah seperti ..... (tanya la secara private, malu nak share kat public.... haha)

contoh karangan dalam loghat Kelantan....

Kito asar peke kecik kak kelate, sano tu, dulu ado 5 buoh kheto sewo jah, 4 buoh tu, tak dok airconh, sor jah hok ado airconh, laku benar kheto sewo pokcik tu, tapi kito tok ajeng naik lagi kheto tu. Loni peke kecik pung maju doh sikit, ado pusak tuition, ado bank, ado kedar cerming mato, tapi tak dok Burger King, Coffee Bean pung tak dop, maklung lah, orghe dok sini, cerdik, sapo nok bayar sepuloh yar beli secawe kopi, sepuluh yar tu –kalu beli nasi lauk aye, pah ,minung kopi pung lebih pitih lagi, bolih beli mace-mace kueh lagi buak balik ghumoh ko anok-anok.

Tapi loni pung bage-bage naik hargo sumo doh, haghi tu kito beli nasi lauk kuoh ike pung tigarmah sebukuh kak kapung, tapi kalu kigho tu, kak Ipoh tok dapak hargo ni, nasi lemok hok tak dok gapo pung si yar doh, pah ngaso pung tok leh nok banding lah. Maso bule poso tu kito rindu saghak kue kelate, pasar ramade hok kito gi kak Tame Maju nih, kue dio tok napok sedak, ado banyok kedar hok juar akok, nasi dage, nasi karbu, puluk, tapi tok sedak sangak, mungking kito tok jupo lagi hok sedak, kalu demo tau kak mano ado hok sedak tu, tolong oryak ko kito deh. Jupo gop la tomye hok sedak. tu pung kat kedar oghe kelate la, sabilah gapo.

nih taim balik cuti gak, meme sedak r make. caro apo naik berak. ghindu lajok ngan makene kelate. Kepok dio pun tok supo nga kepok perok. sedak sini lagih. haha

Pehe dok nih nulih kok kelate? Bialah dop pehe pung. sekali ni jah. pahni dop doh. berak la takdop oghe nok lawak blog nih... ko guano? huhu

Wednesday, June 10, 2009

Siri Kenali Kelantan 2: Lelaki Kelantan dari Perspektif Penjajah

"The bulk of the population is Malay, or rather that peculiar product of the fusion of Malay, Siamese and other races which in Kelantan passes for Malay. the Kelantan man is taller, better built and stronger than the true Malay. He is probably also of a temperament more easy-going, more open and less excitable than his cousins in the south. Gay, debonair,a good sportsman and a humorist, easily moved alike to brief anger and to affection, and endowed by nature with extraordinarily good manners, the man of Kelantan makes, as usual acquaintance, the best of good company, whether he be a Raja at a bull-fight or a peasant engaged as a jungle guide. Below the surface, however, he is natural born intriguer, and for that reason is also a slave to continual suspicion of the motives of his neighbours. He is consequently an inveterate liar; but his deceits are far from skilful and his soul is entirely free from shame whenever his prevarications are exposed. That the Malay is lazy and will not work is common saying in the mouths of Europeans in Malaya. True, the Malay will often decline to work in the particular manner in which the european desires him to do so, that is as a mining cooly or plantation hand in the service of the said European, but the Malay is by no means an idle person. In Kelantan he grows the seventy thousand odd tons of rice which feed the population, he catches and dries fish enough for home consumption and for considerable export, he makes some forty thousand pikuls of kopra every year, he works boats on the river, and, in fact, he makes a very comfortable living, supplies all his wants, and is contented. It is not probable that any European who condemns him would himself continue to work at tin mine or rubber estate after he had made enough to satisfy all his wants and to be able to realise all his ideals in order merely to satisfy the demand of some stranger for labour."

Taken from Kelantan : a state of the Malay peninsula - a handbook of information written by W.A. Graham published by Glasgow : Glasgow U. P., 1908.

Comments:
Gay in the extract means cheerful... hehe


Siri Kenali Kelantan 1: Merantau: Satu Analisis Sosio-budaya dan Politik

Oleh: Hj. Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif

Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Istilah atau konsep merantau mempunyai konotasi sosiobudaya dan politik yang tersendiri. Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa merantau adalah satu aktiviti yang lumrah bagi semua makhluk Allah khususnya manusia. Di kalangan haiwan ada beberapa jenis burung yang terbang secara kelompok atau secara jamaah dari satu tempat ke satu tempat yang lain yang kadang-kadang melibatkan ratusan kilometer jauhnya.

Begitu juga sejarah tamadun manusia memperlihatkan kepada kita bagaimana kelompok manusia berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pergerakan atau migrasi merentasi sempadan ini adalah merupakan sesuatu yang fitrah kepada makhluk ciptaan Allah bagi tujuan mempereratkan lagi hubungan di antara makhluk ciptaan Allah dalam saat yang sama memberi peluang kepada manusia khususnya merenung tentang keagungan Allah itu sendiri.

Berdasarkan hakikat umum di atas, maka kewujudan anak-anak Kelantan di luar Kelantan bukanlah sesuatu yang pelik ; dan sudah semestinya bukan sesuatu yang bersifat negatif. Ia berlaku semasa Kelantan di perintah oleh BN dan semasa Kelantan di perintah oleh PAS (BA). Ia juga berlaku kepada masyarakat Minangkabau di Indonesia. Ia juga berlaku kepada masyarakat Cina yang dikenali sebagai masyarakat Cina seberang laut (oversea Chinese) yang begitu berpengaruh dalam bidang ekonomi. Kita dapat menjangkakan bahawa fenomena globalisasi akan mempertingkatkan lagi keupayaan manusia, termasuk masyarakat Kelantan, untuk merantau.

Atas perkiraan bahawa merantau merupakan satu sifat semula jadi atau fitrah manusia, ia juga dari satu segi merupakan sebahagian dari sunnatullah. Dari sudut ini, ia mempunyai hikmah atau aspek-aspek positifnya yang tersendiri. Dari perspektif pendidikan Islam, ia merupakan satu bentuk rehlah yang mempunyai peranannya yang penting. Para ulama besar seperti Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Al-Ghazali menggunakan kaedah merantau atau rehlah untuk mencari dan menuntut ilmu. Mengembara atau merantau bagi tujuan menuntut ilmu adalah sesuatu yang sejajar dengan tuntutan Al-Quran. Kaedah ini juga menjadi ikutan para ulama dari Kelantan sendiri. Sebagai contohnya, YAB Tuan Guru pernah belajar di Jertih, Terengganu dan dari Jertih ke Doeband di India dan akhirnya ke Al-Azhar Mesir. Menimba ilmu melalui proses perantauan ini memantapkan lagi konsepsi ilmu seseorang kerana ianya digarap oleh pelbagai pengalaman yang berbeza yang terhasil dari persekitaran yang berbeza.

Apabila anak perantau berada di tempat yang asing, akan lahir semangat juang yang gigih dalam apa saja bidang yang diceburi. Inilah yang terjadi kepada anak-anak perantau Kelantan. Para pelajar dari Kelantan yang merantau akan kembali dengan ijazah yang cemerlang. Di antara anak-anak Melayu yang berjaya dalam bidang akademik, sebahagian besarnya berasal dari Kelantan. Sekadar untuk menyebut beberapa nama, Prof. Dr. Shahrir Mohd Zain dari Pasir Putih merupakan anak Melayu pertama yang memperoleh ijazah Ph.D dalam matematik. Begitu juga dengan Prof. Dr. Zawawi dari Kota Bharu merupakan anak Melayu pertama menggondol ijazah Ph.D dalam bidang kejuruteraan. Beliau pernah bertugas sebagai Naib-Canselor Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS). Insan istimewa yang cacat penglihatan seperti Prof. Dr. Ismail Salleh adalah juga dari Kelantan.

Semangat perantau (immigrant spirit) juga telah dilihat oleh pengkaji terkenal seperti Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas sebagai faktor terpenting menyumbang kepada terbinanya budaya keusahawanan seseorang individu. Pandangan ini amat bertepatan, kerana golongan korporat juga ramai yang berasal dari Kelantan. Nama-nama seperti Tan Sri Wan Azmi, Dato’ Nadzmi dan sebagainya terukir di pemikiran kita. Sebagai perantau mereka tinggal di luar Kelantan tetapi mereka juga mempunyai keterikatan emosi yang kental dengan kampung halaman di mana mereka di lahirkan.

Budaya perantau bukan sahaja mempunyai kesan yang tersendiri kepada aspek pendidikan dan ekonomi, ia juga turut mempengaruhi budaya politik masyarakat Kelantan. Apabila parti politik gabungan BA yang diketuai oleh PAS memenangi pilihan raya umum 1990, Kelantan telah dikritik hebat oleh penganalisis politik dari luar Kelantan. Mereka mengandaikan bahawa kemenangan BA disebabkan oleh faktor budaya kedaerahan (primordialism) yang kental yang dimiliki oleh rakyat Kelantan sehingga mereka sanggup menutup minda mereka. Minda mereka telah diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung. Kejayaan sebahagian dari individu yang kita sebut di atas secara jelas menolak pandangan yang sempit ini. Budaya perantaulah, sebaliknya, yang telah membuka minda masyarakat Kelantan untuk bereksperimen dengan perubahan, terutamanya perubahan politik. Ini dapat dilihat dalam mana dari dulu lagi masyarakat Kelantan bersedia untuk menerima orang luar sebagai calon untuk bertanding di kawasan mereka. Nama-nama seperti Prof. Dzulkifli Mohammad, Abu Bakar Hamzah dan terkini Mohd Sabu terukir dengan jelas dalam diari politik Kelantan.

Budaya perantau yang positif yang dimiliki oleh masyarakat Kelantan amat berkait rapat dengan sifat — dalam istilah ahli sejarah yang terkenal Prof. William Roff – Self-determining. Ini bererti masyarakat Kelantan mempunyai sifat tawakkal yang tinggi. Ini adalah juga manifestasi dari budaya ilmu Islam yang mantap yang dimiliki oleh anggota masyarakatnya. Ini juga bermaksud perlakuan masyarakat Kelantan adalah adunan dari sifat individualistik dan kolektif.

Sifat individualistik masyarakatnya bukanlah yang tunduk kepada kerakusan budaya materialisme dan berkepentingan diri ala masyarakat kapitalis Barat tetapi digerakkan oleh elemen tawaddu’. Yang ada pada masyarakat Kelantan adalah tawaddu’ bukan rendah diri. Ini dijelmakan dalam istilah amba. Konsep amba bukan jelmaan dari perkataan hamba abdi dalam konteks hubungan antara manusia yang berbeza taraf tetapi lebih kepada hamba Allah yang terangkum dalam konsep ubudiyyah itu sendiri. Konsep amba di sini mempunyai kekuatan dalaman, mempunyai izzah. Konsep amba diadunkan dengan konsep kita yang mencerminkan dimensi kolektivitinya.

Gabungan antara amba dan kita akan melahirkan kesedaran kolektif (collective conscience) dan kesedaran kolektif inilah yang telah menggerakkan perubahan politik dalam masyarakat Kelantan. Secara ringkasnya, dapatlah dihujahkan di sini bahawa budaya perantau masyarakat Kelantan adalah, dari satu segi, cerminan kepada budaya induknya.

Ulasan:

Ana sendiri lahir dalam keluarga perantau. Ana lahir di Kelantan namun dibesarkan di Selangor sehingga usia 6 tahun disebabkan ibu bapa yang bekerja dan sambung belajar di sana. Belajar pun kebanyakannya di luar Kelantan kecuali sewaktu sekolah rendah dan tingkatan 4-5. Sewaktu tingkatan 1, ana telah ditawarkan untuk menyambung belajar di MRSM Kuala Lipis. Terus setuju untuk merantau ke sana. Padahal, ana boleh mendapatkan pendidikan yang jauh lebih baik di negeri sendiri. Sekolah elit seperti Sek. Men. dato' Ahmad Maher mempunyai rekod akademik yang lebih baik jika tidak setaraf dengan MRSM. Begitu juga dengan SMKA, sekolah swasta dan Maahad yang berlambak-lambak di negeri ini. Malah, boleh je nak mintak pindah ke MRSM di Kelantan. Tapi kebanyakan kami memilih untuk merantau. Kenapa? Sudah terjawab dalam artikel di atas mungkin.

Justeru, rakyat Kelantan mampu membandingkan dengan rasional sosio-budaya di luar Kelantan dan di Kelantan sendiri. Mereka tidak pernah takut dengan perubahan sebagaimana orang Melayu di negeri lain yang sebahagiannya masih mewarisi sentimen Melayu feudal ini. Buktinya jelas, Kelantan yang paling kerap bertukar pemerintah sejak kemerdekaan Malaysia.

Siri ini akan disambung dengan pelbagai fakta menarik.. TQ

Tuesday, June 9, 2009

Budaya Politik Kelantan

Assalamualaikum, salam siasah...

baru sebentar tadi ana mengikuti siaran rancangan Hujah di TV9 dengan tajuk 'Budaya Politik Kelantan'. Siaran kali ini menampilkan 2 orang ahli panel yang bukan orang Kelantan iaitu YB Dato' Sri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang dan YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam. Seperti biasa, moderator Hujah ialah Prof. Madya Mohd. Agus Yussoff, Pensyarah Sains Politik UKM yang begitu pekat loghat Kelantannya.

Prof. Madya Agus

Sebagaimana biasa, pelbagai idea kelakar yang dilontarkan oleh Dato' Sri Adnan terhadap orang Kelantan sama seperti orang dari negeri lain yang tidak arif tentang rakyat Kelantan. Antaranya ialah apabila beliau ditanya tentang pencerahan politik yang dialami rakyat Kelantan, beliau dengan nada sinis mengatakan rakyat Kelantan hanya berminat mendengar ceramah-ceramah politik disulami dengan unsur keagamaan dan hanya mengharapkan ganjaran selepas mati yang dijamin oleh PAS. Kenyataan ini membuatkan kami sekeluarga bersama YB Khalid di sebelah beliau tergelak besar.Tidak disangka-sangka seorang Menteri Besar boleh mengeluarkan kenyataan sedangkal ini. Seolah-olah kami Rakyat Kelantan begitu jumud untuk ke arah satu ekstrim yang bertentangan dengan ekstrim UMNO. Ketahuilah PAS itu hanya kulit sebagaimana kata Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Yang lebih penting adalah isinya iaitu Islam. Islam itulah yang membawa keseimbangan antara pembangunan jiwa dan material. Menolak material bermakna menolak Islam juga. Jelas jiwa sekularisme membius minda Dato' Sri Adnan. Kelantan pernah berada di bawah BN. Rakyat Kelantan juga boleh menolak PAS dengan mudah sekiranya mereka beralih arah perjuangan.

Beliau juga dengan angkuh menyatakan bahawa BN mempunyai peluang besar untuk merampas Kelantan sekiranya Datuk Nik Aziz sudah tiada.Satu lagi kenyataan bersifat utopia oleh beliau. Ya, itu mungkin sekiranya tiada pemimpin yang berkebolehan dari PAS Kelantan. Tapi PAS Kelantan masih belum miskin pemimpin yang hebat dan berkemampuan.

Sebagai rakyat Kelantan, ana agak berkecil hati terhadap tanggapan negatif oleh kebanyakan non-Kelantanese terhadap negeri Cik Siti Wan Kembang. Antara yang paling kerap diperkatakan ialah keterikatan rakyatnya dengan sifat Primodialisme atau kedaerahan. Rakyatnya juga dikatakan mundur dari aspek pembangunan.

Kenapa? Adakah kerana mereka asyik bertutur dengan loghat Kelantan? Kurang pembangunan? Tiada bangunan-bangunan pencakar langit yang tinggi? Tidak boleh menerima orang bukan Kelantan? Tiada disko? Tiada arak? Parti pemerintah berbeza?

Pandangan sebegini hanya timbul daripada pemerhati-pemerhati luar yang tidak pernah melihat sendiri negeri Kelantan. Adakah bercakap dengan loghat Kelantan ni jumud sangat? Bagaimana pula dengan orang Kedah? Come on la... tidak semestinya kerap kecek Kelate tu indikator semangat kedaerahan yang tebal. Bergaul dahulu baru tahu. Tiada pembangunan? KB Mall tu adalah supermarket yang mencatatkan jualan paling tinggi antara supermarket di Malaysia pada tahun 2008. Tak cukupkah untuk menggambarkan kuasa membeli Rakyat Kelantan? itu belum diambil kira jumlah jualan TESCo, Billion, The Store dan beberapa lagi supermarket milik rakyat tempatan seperti Pantai Timur, Arena dan sebagainya. Tidak termasuk lagi pasar borong terbesar di Malaysia iaitu Pasar Wakaf Che Yeh yang kini berwajah baru.

Bagi pengetahuan semua, ramai ahli parlimen Kelantan terutamanya dari PAS bukanlah anak Kelantan seperti YB Salahudin Ayub, YB Dr. Hatta dan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa. Ini jelas menolak tuduhan rakyat Kelantan bersifat Primodialisme. Sejarah sejak dari awal telah membuktikannya dengan penerimaan Dr. Burhanudin Helmy oleh rakyat Kelantan walaupun beliau bukan dari Kelantan.

Mungkin di kemudian hari ingin ana kongsikan bersama antum semua keunikan Kelantan. dari aspek sosio-budaya, kraftangan, makanan, politik dan sebagainya.. cukup di sini dahulu.. wallahu'alam

Friday, June 5, 2009

Budaya Dialektik Pemacu Masyarakat Dinamik


Socrates

Kisah Socrates dan Euthyphro

Euthyphro pernah ditanya oleh Socrates, seorang failasuf Yunani terkenal tentang maksud ‘piety’ atau boleh juga diterjemahkan sebagai soleh.

Lalu Euthyphro menjawab “orang yang soleh adalah orang yang disayangi tuhan.”

Socrates bertanya “Bukankah tuhan juga bersifat pemarah?”

Euthyphro membenarkannya sahaja.

“Jadi, mesti ada tuhan-tuhan tertentu yang menyayangi dan tuhan-tuhan tertentu yang marah ke atas sesuatu?” Kata Socrates.

Juga dibenarkan sahaja oleh Euthyphro.

“Oleh itu, pasti ada seseorang yang disayangi tuhan dan dalam masa yang sama dibencinya(soleh dan tidak soleh).” Jelas Socrates.

Sememangnya hal ini tidak boleh diterima oleh akal.Perdebatan ini menyedarkan Euthyphro bahawa huraian maksud perkataan tersebut masih tidak lengkap dan dianggap salah.

Senario di atas memberi gambaran ringkas tentang konsep dialektik yang berakar umbi dari falsafah Yunani kuno. Ia merupakan salah satu kaedah perbahasan antara dua individu yang berbeza pendirian dan pendapat. Matlamat utama kaedah ini adalah untuk mencari penyelesaian melalui perbincangan yang rasional dan seterusnya mencari kebenaran. Perbincangan mengenai dialektik sangat berkait rapat dengan budaya kritis.

Frasa ‘Modal Insan’ yang kerap kali dilaungkan oleh golongan pemerintah banyak merujuk kepada pembangunan kemahiran teknikal dan kreativiti dengan matlamat untuk melahirkan golongan pekerja. Konon kreativiti mampu memacu rakyat menjadi lebih dinamik. Namun, kreatif tanpa dipadankan dengan Kritis boleh mengancam kestabilan intelektual. Hasilnya, lahirlah robot-robot dengan gelaran golongan profesional yang sebenarnya menjadi balaci golongan kapitalis.

Krisis Intelektual

Sejak sekian lama rakyat Malaysia diancam krisis intelektual yang merosakkan akibat tekanan pemerintah. Contoh yang mudah, lihat sahaja golongan pelajar sekolah. Mereka ‘disuap’ dengan segala macam pengetahuan(bukan ilmu) untuk ‘dimuntahkan’ kembali ke atas kertas ketika peperiksaan tanpa memahami apa realiti sebenar di sebaliknya. Kerap kali para pelajar disekat untuk bertanya soalan yang kononnya ‘di luar silibus’ dengan ayat-ayat seperti “Soalan awak tu tak masuk exam.”,”Tak payah tahulah benda tu, awak dah boleh dapat A dah dengan apa yang cikgu ajar ni.” Dan lain-lain. Silibus pula diubah suai untuk memuaskan nafsu golongan pemerintah. Isi-isi yang penting dibuang dan diganti dengan kepalsuan. Pelajar-pelajar pula ‘ditipu’ dengan diberikan keputusan yang cemerlang dalam SPM dan anugerah yang pelbagai untuk ‘memujuk’ rakyat dan menidakkan pembangkang.

Unsur-unsur sebegini jelas menyekat budaya kritis di minda golongan remaja dan menyebabkan mereka menghidap sindrom Dogmatisme yang membarah dari satu generasi ke satu generasi. Bagaimana sekatan tersebut berlaku?

Ia berlaku apabila kritikan yang diberikan dianggap sebagai ancaman kepada kemaslahatan pihak-pihak tertentu. Justeru, harus ditentang dengan apa cara sekalipun termasuk memanipulasi undang-undang untuk menutup ruang idea yang bersifat kontradik ini. Buktinya jelas dengan penggunaan undang-undang ISA ke atas Tan Hoon Cheng, wartawan Sin Chew Daily berkaitan kes Teresa Kok sekitar September 2008. Akibatnya, mereka yang ditahan mengalami trauma.

Memetik kata-kata Dr. Abu Hassan Hasbullah, seorang pensyarah pengajian media Universiti Malaya:

“Kita perlu membina budaya menerima kritikan. Kita perlu belajar untuk menerima kritikan dan hidup dengan budaya ini untuk membentuk masyarakat yang dinamik.”

Sekilas pandang, kata-kata tersebut mungkin tercetus daripada kebimbangan beliau terhadap masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang takut untuk berbeza pandangan. Ketakutan sebegini sudah pasti berakar dari generasi yang lalu walaupun polarisasi politik baru sedikit sebanyak telah mengubah stigma ini.

Membentuk Budaya Dialektik

Budaya dialektik di Yunani

Mari kita sejenak merenung negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun. Perbezaan pendapat amat diraikan agar mereka dapat duduk semeja berbincang dengan rasional, dan seterusnya mencapai penyelesaian yang terbaik. Malah, pemimpin mereka kerap bertukar-tukar berbanding Malaysia yang masih terperangkap dengan sistem pemerintahan ala-ala feudal. Akhirnya Jepun mampu bangkit sebagai salah satu kuasa besar ekonomi malah mengetepikan Amerika Syarikat.

Begitulah senario yang menunjukkan betapa penting budaya kritis atau dialektik dipupuk dalam diri masyarakat. Namun begitu, adalah diakui segalanya perlu dibatasi. Sebagai Muslim, segala yang bersifat qat’i tidak boleh diperdebatkan lagi. Tetapi yang selain daripadanya dibolehkan selagi berada dalam ruang lingkup yang selamat. Kita bersifat kritikal bukan kerana semata-mata berbeza pendapat, tetapi untuk mencari al-Haq. Kita juga perlu belajar untuk menerima kritikan secara positif dan cuba mengambil isi kritikan tersebut untuk membangunkan diri. Terimalah dengan rasional bukan emosional. Namun begitu, tidak bermakna kita boleh mengkritik semahu-mahunya sehingga melanggar batas kemanusiaan. Adab-adab masih perlu dijaga. Kurangkan penggunaan perkataan bersifat negatif seperti ‘tidak’, ‘bukan’, ‘jangan’, ‘salah’ dan sebagainya. Kaedah dialektik sebagaimana yang dipraktiskan Socrates merupakan salah satu kaedah menarik untuk menjelaskan sesuatu pendapat dan mencetuskan legasi perbincangan yang rasional. Semoga dengan pembudayaan pemikiran kritis mampu membentuk masyarakat Malaysia yang lebih dinamik.

P/S: Luahan perasaan je sebenarnya, juz nak sampaikan dalam bentuk yang boleh difahami walaupun ideanya kurang tersusun. Maaf ye...



Related Posts with Thumbnails
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template